TALIBAN VS JAKIM

Isu Wahabi: Zamihan Terus Kritik, Dakwa Imam Besar Masjidil Haram Bukan ‘Kebal’

Zamihan Mat Zain meneruskan kritikan keras terhadap Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais hari ini dengan mendakwa tokoh agama itu bersifat “maksum” sehingga seolah-olah tidak boleh dikritik oleh sesiapa.

Dalam tulisan terbaru pada laman Facebooknya, Zamihan , pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan pendiriannya mengkritik Sheikh Abdul Rahman dan mempersoalkan tindakan pihak yang menghalang beliau berbuat demikian.

“Sesiapa sahaja boleh mengkritik dan dikritik kecuali Nabi dan Rasul yang diberikan sifat maksum oleh Allah, kritikan beradab adalah amalan sihat dan digalakkan dalam Islam kerana ia boleh menjadikan ia sebagai mekanisme penentu baik atau buruk sesuatu perkara selain digunakan sebagai instrumen penambahbaikan bagi seseorang.

“Justeru kita melihat sesiapa yang berharta, berkuasa atau bertakhta tidak sunyi daripada kritikan, termasuk kritikan saya terhadap Sheikh Abdul Rahman yang memegang jawatan Imam Besar Masjidil Haram.

“Beliau adalah seorang tokoh yang sering mengkritik ulama sunni, kerajaan Arab Saudi dan umat Islam… jadi sudah tentu beliau tidak terlepas dari kritikan,” katanya.

Semalam, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.
Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.
Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu.

Selain itu, beliau berkata Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

Namun tindakan Zamihan itu dinafikan Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Jakim juga telah memanggil Zamihan berhubung perkara itu dan menjelaskan kunjungan Sheikh Abdul Rahman ke Malaysia.

Dalam tulisannya hari ini Zamihan juga mempersoalkan kredibiliti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penceramah-penceramah termasuk Sheikh Abdul Rahman yang terlibat dalam seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu sambil mendakwa ia turut disertai individu yang berfahaman Wahabi.

“Saya tidak kisah jika beliau (Sheikh Abdul Rahman) hadir ke Malaysia membicarakan tentang dakwah, pembangunan modal insan dan tamadun Islam, malah saya juga menyanjungi atas usaha-usaha itu.

“Namun jika beliau hadir dalam seminar Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah bertujuan untuk memberi sokongan dan kredit kepada jurucakap-jurucakap berfahaman Wahabi dan menyokong dakwah Wahabi, itu adalah sesuatu yang tidak wajar kerana fahaman Wahabi tidak diterima di negara ini, fahaman Wahabi bukan mazhab yang setaraf dengan mazhab muktabar Ahli Sunnah Waljamaah,” katanya.

Selain itu, tegas Zamihan, fahaman Wahabi bertentangan dengan amalan umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Waljamaah.

“Metodologi fahaman Wahabi sering bertentangan dengan fatwa dan metodologi pengurusan Islam di negara ini dan serang menimbulkan keraguan terhadap umat Islam dengan isu-isu remeh.

“Tambahan beliau (Sheikh Abdul Rahman) merupakan tetamu kerajaan dan tidak wajar jika ingin bersikap campur tangan dalam urusan hal ehwal Islam negara kita, apatah lagi menghadirkan diri dalam seminar yang dianjurkan tanpa permit dari jabatan agama dan pihak keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, satu laman Facebook yang dinamakan “Kami Mahu Zamihan Diambil Tindakan Kerana Menghina Sheikh Sudais” diwujudkan semalam mengecam tindakan pegawai Jakim itu menghina Sheikh Abdul Rahman dan menuntut agar tindakan keras diambil terhadap Zamihan.

Laman Facebook itu setakat petang ini telah menarik 1,155 peminat yang tidak bersetuju dengan tindakan dan kenyataan Zamihan terhadap Sheikh Abdul Rahman.

Menurut salah seorang penyokong laman Facebook itu Jas M. Ali, tindakan Zamihan itu cuba untuk menimbulkan keraguan dan boleh menyebabkan perpecahan umat Islam.

Seorang lagi peminat, Badrul Amin menggesa supaya tindakan diambil terhadap Zamihan.

“Harap ambil tindakan, lepas ini siapa pula yang akan kena sebab Imam Besar Masjidil Haram pun boleh kena, jangan nak hentam orang yang nak tegakkan Islam,” katanya.

Tahun lalu Zamihan telah menimbulkan kontroversi apabila dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.(IRIB) (themalaysianinsider.com) Syed Mu’az Syed Putra

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s