Bahlol itu syiah?

Cerpen: MENJUAL SYURGA
Oleh : Fadhil Abbas b Mohd Zain
Umur: 12 Tahun

Sungai Tigris mengalir senak dek muatan salji yang mencair. Dari hulunya di pergunungan timur Turki melewati bandar-bandar masyhur di Iraq hingga ke Baghdad mengalir terus ke Teluk Parsi, ia membawa kesuburan rezeki dari penciptaNya.

Seusai solat Subuh, Bahlul menyusuri lorong-lorong kediaman fakir miskin di sepanjang sungai itu. Daripada satu tangan ke tangan lain yang menadah, Bahlul meletakkan roti tanda sedekahnya buat mereka. Satu yang tidak terungkai oleh mereka adalah bagaimana mungkin seorang gila berpakaian compang-camping tidak pernah gagal melaksanakan rutin hariannya yang mulia.

Nalurinya kemudian membawa Bahlul terus menyusuri tebing Tigris melewati kebun plum dan aprikot. Haruman bunga-bungaan yang merumpun di hujung kebun seolah-olah menggamitnya ke sana pula. Syahdu hatinya tersentuh dek indahnya suasana musim bunga yang mula melangkah bulan kedua. Terkenang kembali akan dia pada hiruk pikuk temasya sambutan hari pertama musim bunga di istana khalifah. Pada hari itu Bahlul yang sememangnya dikenali sebagai orang yang tidak waras, tanpa diundang menghampiri Harun ar Rasyid yang sedang berpesta dengan minuman khamar serta penari-penari geleknya.

Harun ingin membuktikan bahawa khamar adalah halal walhal dia sendiri tahu telah tercatit di dalam Al Quran ianya haram, lantas bertanya kepada si gila Bahlul.

“Apakah haram memakan anggur?”
“Tidak,” jawab Bahlul.
“Apakah haram, sekiranya setelah makan anggur kemudian meminum air?” tanya Harun.
“Tidak ada masalah,” jawab Bahlul.
“Lalu, bagaimana jika setelah makan anggur dan minum air, seseorang duduk sebentar di bawah sinar matahari?” tanya Harun lagi.
“Itu juga tiada masalah,” jawab Bahlul.
Kemudian Harun berkata, “Jika demikian, ketika adunan anggur dan air dijemur sebentar di terik matahari, bagaimana mungkin menjadi haram?”
Bahlul lalu menjawab dengan pertanyaan, “Jika sedikit tanah diletakkan di kepala seseorang, akankah berbahaya?”
“Tidak,” jawab Harun.
“Kemudian, jika air dituangkan ke tanah itu, apakah ia akan menyebabkan rasa sakit?” tanya Bahlul.
“Tidak,” jawab Harun.
“Jika tanah dan air dicampur menjadi sebuah bata, lalu dilemparkan ke kepala seseorang, bukankah menyebabkan rasa sakit?” tanya Bahlul.
Khalifah menjawab, “Benar, batu itu akan melukai kepala orang itu.”
Bahlul lalu berkata, “Kesimpulannya, adunan tanah dan air yang kemudian yang dijadikan bata boleh melukai kepala manusia dan menyebabkan rasa sakit padanya. Demikianlah juga adunan anggur dan air yang kemudian dijadikan khamar. Meminum khamar menyebabkan banyak masalah dan adalah wajib menghukum peminumnya!”

Khalifah menjadi tertekan di atas jawapan Bahlul lantas memerintahkan agar persediaan khamarnya dibuang.

Bahlul tersenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu dan banyak lagi peristiwa-peristiwa lain antaranya dengan khalifah Harun. Walaupun di mata Harun malah hampir semua penduduk Baghdad dia itu gila namun dia sentiasa memenangi persoalan-persoalan yang ditimbulkan Harun. Tidak hairanlah kebenaran berada di pihaknya kerana Bahlul merupakan seorang bekas hakim.

Dalam Bahlul mengimbau kembali peristiwa tersebut, tangannya memetik-metik bunga-bungaan di sekelilingnya. Seperti lagaknya seorang anak kecil, dia memetik bunga-bungaan untuk dibina sebuah taman. Dikutipnya batu-batu kecil sungai pula lalu dibina sebuah binaan. Dikutipnya pula dahan-dahan kecil dari pohon-pohon berhampiran. Dahan-dahan itu ada yang dicacak ke dalam tanah dan ada pula yang dijadikan seperti alang.

Diaturkannya bunga berwarna biru gerau sederet di bahagian paling luar alang. Bunga berwarna nilakandi pula di lapisan dalamnya, di susun berjajar. Sementara bunga berwarna merah kesumba disusun membulat diselang-seli dengan bunga berwarna kuning gading. Lapisan membulat sebelah dalam diatur indah dengan bunga berwarna ungu lembayung pula. Serumpun bunga paling digemarinya, bunga mawar berwarna merah kesumba diletak di bahagian paling tengah sekali. Beberapa helai daun berwarna hijau gadung diselit di antara gubahan tamannya. Setiap spesies bunga itu mengeluarkan aroma harum yang tersendiri. Bahlul sendiri kagum akan keindahan taman ciptaannya terutama ketika dipancar sinar matahari yang mula menaik.
Taman hiasan
Ketika mengamati tamannya yang indah itu, Bahlul ternampak dari kejauhan Puteri Zubaidah sedang berjalan lambat-lambat menghirup udara segar pagi itu. Wanita anggun itu mengenakan perhiasan kepala bertatah batu permata. Tudung kepalanya terdapat corak bunga-bungaan disida air emas. Tidak cukup dengan bahagian kepala, baju dan kasutnya dipenuhi dengan segala macam kemewahan. Hebatnya busana isteri khalifah hinggakan dari jauh Bahlul boleh nampak akan kilauannya itu.

Permaisuri Zubaidah semakin menghampiri Bahlul. Dua orang dayangnya berjalan dibahagian kanan dan kiri sebelah hadapannya sementara yang lain mengekori si permaisuri dari belakang. Si dayang di sisi kiri memandang Bahlul dengan muka mencemuh.

“Apa yang dibuat si Bahlul ini? Dibina taman seperti anak-anak kecil. Entah-entah dia berangan membina Taman Tergantung Babylon. Mahu dihadiahkan siapa tamannya itu? Siapalah pula yang sudi menerimanya?”
Dilantunkan cemuhannya di dalam sebuah syair pula namun hanya berani di dalam hati.

Hairan semua akan si Bahlul ini
Kelakuan pelik hari ke hari
Dulu hakim bijak bestari
Sekarang gila tak sedar diri
Dulu kaya lagi berharta
Sekarang miskin papa kedana
Hidup merempat melarat pula
Tapi beraninya tak takut sesiapa
Hadir semua majlis istana
Bukan untuk makan, berdiskusi sahaja
Pasti kalah yang berdebat dengannya
Tak kira khalifah atau pembesarnya

Dalam pada itu dayang di sisi kanan permaisuri juga bersyair tentang Bahlul diam-diam di dalam hati;

Betapa dalam cintamu kepada keluarga Nabi
Hingga sanggup merendah diri
Tidak kau peduli statusmu lagi
Asal mendapat keredhoan Ilahi
Nasihat Imam Musa keturunan Nabi
Kau pegang erat tak tergugat lagi
Walau seluruh Baghdad menghinamu setiap hari
Kau sanggah dengan keimanan di hati
Demi mengharap kebahagiaan hakiki

Si dayang berkata pula, juga di dalam hati, “Apa yang kau lakukan ini? Membina taman di tebing Tigris. Sesungguhnya hanya kau yang mengetahui. Tetapi, ketahuilah oleh kau wahai Wahab bin Amr sepertimana kau, Ali bin Yaqthin yakni menteri Khalifah Harun, aku serta sebilangan kecil yang lain adalah pencinta keluarga Nabi. Kerana kepatuhan kepada kepimpinan Ilahi iaitu keturunan Nabi itulah yang membuat kita masih di sini.”

“Aku tahu benar kisahmu wahai Bahlul. Semuanya kerana Khalifah Harun ar Rasyid merasa terancam dengan keberadaan Imam Musa al Khazim, keturunan Nabi yang suci. Khalifah mengecam pembangkangan Imam terhadapnya dan menuntut keputusan pengadilan yang memihak kepadanya dari orang-orang yang dianggap bijak pada masa itu. Semua orang kerana takut akan khalifah memutuskan bahawa Imam Musa bersalah kecuali mu dan sahabat-sahabat setianya menentang keputusan tersebut. Lalu kau dan beberapa sahabat-sahabat itu mendatangi Imam untuk meminta nasihat kerana membuatkan khalifah menjadi marah kepada kalian. Imam Musa lalu menjawab dengan hanya menyebut satu huruf, iaitu huruf jim dan semua kalian memahaminya dan tidak bertanya lebih lanjut.”

“Setiap orang memahami nasihat Imam dengan cara yang berbeza. Ada sahabat yang memaknai jim sebagai ‘jala watan’ yakni mengasingkan diri. Yang lain pula mengertikannya pula sebagai ‘jabal’ iaitu gunung. Sementara kau mengertikannya sebagai ‘jinun’ yang bererti gila hingga kau berjaya melepaskan dirimu dari pemerintah yang tidak mengikut syariat itu.”

“ Semoga kau berbahagia di dunia dan di akhirat wahai Bahlul…amin” doa si dayang tadi.

Bahlul sepertimana lagak seorang gila tidak pedulikan mereka sekalipun si permaisuri. Permaisuri Zubaidah kemudian mendekati Bahlul lalu bertanya,
“Wahai Bahlul, apa yang sedang kau lakukan?”
Bahlul menjawab, “Membuat syurga.”

Zubaidah tersenyum mendengar jawapan Bahlul lantas bertanya, “Apakah tamanmu itu kau jual?”
“Ya, aku menjualnya,” jawab Bahlul.
“Berapa dinar?” tanya Zubaidah lagi.
“Seratus dinar,” jawab Bahlul.

Kerana kebaikan yang ada pada Zubaidah mendorongnya menolong Bahlul dengan cara yang dia mampu. Maka dengan segera dia memerintahkan dayangnya untuk memberikan Bahlul seratus dinar.

Melihatkan Zubaidah yang mahu melangkah pergi, Bahlul segera bertanya, “Apakah engkau tidak menginginkan resit di atas pembelianmu ini?”
“Tulislah dan bawakan kepadaku nanti,” sambil berkata Zubaidah pun terus pergi.

Bahlul juga pergi meninggalkan ‘syurga’ yang telah dijualnya tadi. Wang seratus dinar itu diagih-agihkannya semua kepada fakir miskin. Bahlul tahu Zubaidah binti Jaafar al Mansur merupakan seorang wanita kaya lagi dermawan. Bahlul juga tahu iaitu Zubaidah pernah bermimpi pelik lantas meminta pentafsir mimpi yang terkenal, Ibnu Sirrin mentafsir mimpinya. Rupanya mimpi itu merupakan petunjuk yang baik bahawa Zubaidah akan membelanjakan hartanya untuk membina sebuah terusan air di Mekah yang mana terusan air itu akan dimanfaatkan oleh ribuan jemaah haji.

Malam itu Zubaidah bermimpi melihat sebuah taman yang besar, yang tidak pernah dilihat sebelumnya. Rumah-rumah dan istana-istana di dalamnya mempunyai tujuh tingkat dan dibina dari permata-permata berwarna dan dihias dengan begitu indahnya. Sungai-sungai mengalir tenang dan disampingnya bunga-bungaan sedang mekar. Pohon-pohon yang indah tumbuh subur sementara para pelayan siap untuk melayaninya.

Keindahan adalah ciptaan tuhan

Zubaidah diberi sekeping resit yang ditulis dengan tinta emas. Di dalam resit itu tercatit bahawa inilah taman yang telah dibeli dari Bahlul.

Ketika terbangun dari tidur, Zubaidah merasa begitu bahagia dan menceritakan kepada suaminya, Harun tentang mimpinya itu.

Begitu pagi menyingsing, Harun segera mengirim seseorang untuk membawa Bahlul kepadanya.
Ketika Bahlul tiba, Harun berkata, “Aku ingin kau menjual padaku satu tamanmu, seperti yang kau jual pada Zubaidah.”

Bahlul tertawa terbahak-bahak tatkala mendengar kata-kata khalifah itu. Dia kemudian berkata, “Zubaidah membeli tanpa melihat ganjarannya, tetapi kau telah mendengar dan sangat ingin membelinya. Sungguh dengan menyesal aku tidak akan menjualnya padamu.” Bahlul kemudian berlalu dari situ.

Begitulah Bahlul, sesungguhnya dia menjadi ‘gila’ kepada Allah swt.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s