SAMAKAH ABU LAHAB DAN ABU JAHAL DENGAN ABU TALIB?

Nabi Muhammad dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib bin Abdul Mutalib (as) selepas kematian datuk kesayangan baginda. Ini kerana baginda lebih banyak menghabiskan usia mudanya bersama Abu Talib (as), iaitu sejak berusia lapan tahun sehinggalah baginda menginjak dewasa dan mendirikan rumah tangga pada usia 40 tahun dengan wanita terkemuka Arab pada masa itu, Saidatina Khadijah binti Khuwailid (as).
Tentunya sepanjang di bawah penjagaan Abu Talib (as) ini, merupakan kesinambungan satu sirah Nabi yang menjanjikan pelbagai lagi inti pati pengajaran kepada umat Islam. Abu Talib (as), adalah abang kepada bapa Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib (as). Nama sebenar beliau ialah Imran dan digelar Abu Talib kerana anak sulungnya bernama Talib iaitu hasil perkahwinannya dengan Fatimah binti Asad (as). Mereka dikurniakan anak-anak yang lain iaitu, Jaafar, Ali dan Aqil serta dua anak perempuan, Fakhitah dan Jumanah (Ummu Hani) binti Abu Talib.
Abdullah al-Khazini dalam bukunya, “Abu Thalib (Talib) Mukmin Quraisy – Paman (Bapa Saudara), sekali gus Pengasuh, Pelindung dan Pembela Rasulullah (saw) (Darul Fikir, 1978) menulis, Abu Talib (as) yang juga mendapat julukan ‘Abdul Manaf’ dikatakan menerima wasiat daripada bapanya, Abdul Muttalib akan tanggungjawabnya untuk memelihara Nabi Muhammad (saw) dalam satu bentuk syair, yang berbunyi;
Ku wasiatkan pada mu wahai Abdul Manaf sepeninggalanku,
Akan anak yatim, yang ditinggal ayahnya sendirian,
Ku wasiatkan pada orang yang ku juluki Abdul Manaf,
Dialah orangnya yang memiliki banyak pengalaman,
Akan anak kekasih, kerabat paling mulia,
Anak yang ditinggalkan ayahnya hidup sendiri,
Wasiat ini dipikulkan kepada diri Abu Talib,
Tempat tinggalnya yang kukuh dan ia menyukainya,
Jangan kau wasiat aku dengan keharusan dan kewajiban,
Kerana ku dengar keajaiban yang sangat mengkagumkan,
Dari semua orang yang berilmu dan cerdik cendekiawan,
Hingga jelaslah dengan puji Allah dan ucapan Rahib itu.

Wasiat tersebut dilafazkan ketika detik-detik kematian kian menghampiri Abdul Muttalib (as) yang dikatakan meninggal dunia pada usia 120 tahun. Lalu dijawab oleh Abu Talib (as) ; “Aku menerimanya. Demi Allah, Dialah yang menjadi saksinya”.
Walaupun tidak memiliki kekayaan harta benda yang lumayan dan melimpah, namun kecerdasan dan daya kepemimpinan yang tinggi adalah kekayaan yang dimiliki oleh bapa saudara Nabi ini.
Kepimpinan yang jitu ditunjukkan oleh Abu Talib (as) dalam mengambil alih tugas bapanya iaitu sebagai pemberi makan dan minum kepada jema’ah yang datang ke Ka’bah untuk mengerjakan haji. Sebagai penjaga Telaga Zamzam, Abu Talib (as) akan melemparkan buah kurma dan kismis ke dalam telaga itu supaya air Zamzam terasa manis lagi menyegarkan untuk para jemaah yang menempuh perjalanan jauh dan panas. Apatah lagi melalui padang-padang Sahara yang kering lagi tandus itu.

Jatuh miskin :

Namun pada suatu ketika, Abu Talib (as) benar-benar jatuh miskin yang boleh menggugat kemampuannya untuk terus membantu para jemaah itu. Namun bapa saudara Nabi ini tidak sanggup meninggalkan kemuliaan tugas itu hanya kerana kemiskinan.
Demi meneruskan usaha bapanya, Abu Talib (as) kemudiannya menemui saudaranya yang yang lebih kaya dan berharta, iaitu al-‘Abbas. Tanpa segan Abu Talib (as) meminjam wang 10,000 dirham daripada saudaranya itu bagi membolehkan beliau terus menunaikan kewajipannya kepada para jema’ah haji.
Jelas sekali Abu Talib menggambarkan satu daya kepimpinan yang tinggi namun jasa beliau yang sangat dikenang oleh penduduk Mekah dapat kita ikuti melalui satu peristiwa. Pada satu ketika Mekah benar-benar ditimpa musibah yang amat perit untuk ditanggung oleh para penduduknya apabila berhari-hari tidak hujan menyebabkan berlakunya musim kemarau yang paling buruk.
Ibnu ‘Asakir dalam satu riwayat daripada Julhamah bin Arthafah yang menceritakan bahawa beliau datang ke Mekah dan mendapati penduduk di situ begitu sengsara. Seorang daripada penduduk berkata; “Marilah kita bersandar (memohon pertolongan) kepada Lata dan ‘Uzza (berhala)!” Sementara seorang lagi pula berkata: “Marilah kita bersandar kepada Manat (berhala),” Namun seorang lagi pula berkata: “Mengapa kalian menjadi lemah akal, sementara di tengah-tengah kalian masih ada yang mewarisi keturunan Ibrahim (Nabi) dan Ismail (Nabi)?”
Lalu mereka berkata; “Nampaknya, orang yang kamu maksudkan adalah Abu Talib!”. “Benar!
” jawab si polan yang ketiga tadi.
Lalu mereka terus menuju ke rumah Abu Talib (as) dan berkata; “Wahai Abu Talib! Wadi-wadi yang ada telah mengering, tanah serta ladang semakin gersang. Oleh kerana itu, mintakanlah supaya hujan turun supaya kami dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala!
Sambil tersenyum tanda sedia membantu, Abu Talib (as) pun keluar dari rumahnya dengan membawa seorang kanak-kanak, iaitu anak saudaranya, Nabi Muhammad (saw). Sejurus mereka melangkah keluar, awan yang tebal dan gelap terus berkumpul di langit yang sebelum ini begitu cerah tanpa segumpal awan pun. Setibanya mereka di Ka’bah, Abu Talib (as) pun merapatkan badan anak saudaranya itu ke dinding Rumah Allah itu dan mereka bersama-sama memohon kepada Allah supaya bumi yang gersang itu akhirnya dibasahi hujan.
Ditakdirkan Allah, tidak lama kemudian hujan pun turun dengan mencurah-curah sebagaimana yang diminta oleh penduduk Mekah itu. Lembah Mekah pun kembali subur dan tiada lagi keperitan untuk ditanggung
. Peristiwa ini seperti yang disebut oleh Abi Talib dalam syairnya;

Si Putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya,
Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu!.

Kejadian ini juga menyuntik lagi kekuatan kepada Abu Talib (as) untuk menjaga anak saudaranya itu kerana kini semakin nampak mengenai kedudukan Nabi Muhammad (saw) sebagaimana yang sering diucapkan oleh bapanya sebelum ini. Keperibadian Nabi Muhammad (saw) benar-benar tidak sebagaimana anak-anak yang lazimnya.
Apa yang dilihat oleh Abu Talib (as), anak saudaranya itu tidak sahaja memiliki segala kesempurnaan dan kelebihan tetapi beliau yakin Nabi Muhammad (saw) akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan. Ini menyebabkan Abu Talib (as) akan mempertahankan anak saudaranya itu walau terpaksa bergalang dengan nyawanya sendiri.
Namun dalam satu peristiwa lain, Abu Talib (as) pernah cuba hendak meninggalkan Nabi Muhammad (saw) dalam jagaan orang lain. Ini semata-mata beliau tidak mahu anak saudaranya itu terdedah kepada sebarang ancaman keselamatan ketika beliau bersama beberapa pedagang Quraisy yang ingin memulakan perjalanan untuk berniaga di Syam (Syria).
Namun ketika kafilah-kafilah yang membawa pelbagai dagangan itu hendak memulakan perjalanan yang jauh itu, Abu Talib (as) memalingkan muka dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat dengan jelas anak saudaranya itu sedang menyapu air mata yang jatuh membasahi pipi. Rupa-rupanya Nabi Muhammad (saw) sangat sedih untuk berpisah dengan dengan bapa saudaranya itu.
“Wahai bapa saudaraku! Kepada siapakah engkau hendak tinggalkan aku sementara ketiadaanmu di sini? Sedangkan aku tidak memiliki, baik ayah mahupun ibu,” kata si anak saudara dalam sedu dan sedan.
Wajah sedih dan kata-kata Nabi Muhammad (saw) itu membangkitkan rasa hiba Abu Talib (as)dan tidak semena-mena beliau sendiri merasakan tidak sanggup meninggalkan anak saudaranya itu.
Lalu dipeluknya anak saudaranya yang ketika itu dikatakan dalam usia 12 tahun sambil berkata; “Demi Allah, aku akan membawa kau pergi bersamaku. Kau tidak akan berpisah dengan aku dan aku tidak akan meninggalkan engkau lagi wahai anak saudaraku!”.

Berdagang :

Nabi Muhammad (saw) yang dalam rangkulan bapa saudaranya itu kemudiannya turut dibawa untuk berdagang ke Syam. Sebuah perjalanan getir lebih-lebih lagi terpaksa menempuh padang pasir yang kering dan kontang yang tentunya tidak sesuai untuk anak yang semuda Nabi (saw)itu.
Namun Abu Talib (as) mendapati bahawa perjalanan kali ini berbeza, tidak ada kepayahan kecuali yang menyenangkan tanpa sebarang ancaman yang boleh mengganggu perjalanan mereka. Mereka berjaya melewati Madyan, Lembah Qura, negeri Tsamud sehinggalah daripada jauh mereka dapat menyaksikan keindahan matahari yang sedang terbit dari arah Syam. Sungguh indah sehinggakan mereka semakin bersemangat untuk sampai ke negeri itu walaupun telah berhari dan berbulan dalam perjalanan ini.

ABU TALIB ADALAH SEORANG MUKMIN QURAISY!

About these ads

One response to “SAMAKAH ABU LAHAB DAN ABU JAHAL DENGAN ABU TALIB?

  1. banyak yang percaya bahwa “sang mukmin” ini adalah kafir , bagaimana mungkin sementara Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh Fathimah binti Asad untuk menceraikan beliau.

    bukankah Allah telah mengharamkan mukminah buat kafirun.

    Note yang sangat baik , terimakasih atas ilmunya, aku share ya.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s